Hadis Anas
bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq.
Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih
kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut
mencecah bumi.
Baginda
bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai
ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid
sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.
Baginda
bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan
sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara
tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril
a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.
Lalu Jibril
a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu,
kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi
Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.
Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua
menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan
sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan
kebaikan.
Aku dibawa
lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi
Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah
s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi
darjatnya.
Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan
aku dengan kebaikan.
Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah
engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan?
Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku
dengan kebaikan.
Aku dibawa
lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran
suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya
lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya
lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia
sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari
memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi
kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama
telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika
baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya
aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan
keindahannya.
Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda
dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun
dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh
Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s
berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak
akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu
mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata:
Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan
lima waktu solat dari baginda.
Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata:
Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu
masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah
keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara
Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud:
Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam.
Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti
lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.
Begitu juga
sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya,
nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka
dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin
melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun
dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu
kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku
memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu,
mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada
Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya. (HR Muslim)
Dari SINI
by
Follow @Setanggi_Syurga
2 Mujahid & Mujahidah Tinggalkan Pesan:
subhanallah...menyentuh jiwa
kamilah~^_^ syukran sudi singgah..
Post a Comment