الاسلام يَعلُو ولا يُعْلى عليه -أو كما قال صلى الله عليه وسلم

"Islam itu mengatasi dan tiada yang mengatasinya"

Memandangkan ramai sahabat sahabiah yang akan melangsungkan perkahwinan pada musim cuti sekolah, ana ingin berkongsi sedikit mengenai busana yang menyelimuti badan pada hari pernikahan, walimah dan majlis bertandang ana & zauj.

Pengantin Perempuan



#Baju ana jenis jubah. Beli yang dah siap kat First Lady's. Harga RM45.90. 

#Tudung dan niqab jenis satin. Beli kat Kamdar. Harga RM24. Jahit sendiri.

#Veil Free (kain net atas tudung). Bukan veil betul pun, bila pakai nampak macam veil. Sebenarnya ana hanya touch up kain lebihan untuk baju saudara. Bila servey veil pengantin yang labuh harga lebih dari RM30. Bila ke butik pengantin tanya harga sewa RM18++ tu pun yang labuh sikit dari bahu.

#Sarung lengan RM4.90 beli kat mydin

#Sarung kaki RM2.90 pun cap mydin.

#Kasut RM18.90 beli kat kedai kasut tepi jalan. (Ikutkan hati nak pakai kasut getah je yang harganya RM9.90 he~)

#Jumlah keseluruhan satu set lengkap pakaian nikah ana RM96.60. Tak sampai RM100.

Pengantin Lelaki


#Baju zauji jenis jubah. Harga RM50 (baju pengantin perempuan lagi murah)

#Kupiah pakai yang tersedia ada. (zauji pakai kupiah yang digunakan semasa mengajar kelas al-Quran)

#Seluar putih & baju putih (alas jubah) RM30

#Kasut zauji pakai yang tersedia ada.

#Jumlah keseluruhan satu set lengkap pakaian nikah zauji hanya RM80 sahaja.

Majlis Bertandang




#Baju zauji RM70.

#Kupiah, seluar putih + baju putih (alas jubah) & kasut guna yang sama masa majlis akad nikah.

#Baju ana Free. Ana pakai 'random' yang dah ada kat dalam almari ja.

#Tudung yang ana pakai tu dah dua tahun wujud. Kalau perasan entri yang ada gambar ana pakai tudung warna kelabu memang tudung ni la. Kain kashibo ja.

#Sarung lengan ana guna yang dah sentiasa pakai.

#Kasut yang sama masa nikah

#Veil pun yang sama masa nikah.

#Bunga tangan : Dapat hadiah kahwin.

Jadi jumlah untuk baju majlis bertandang kami hanya RM70 sahaja. Itu hanya baju zauji. Dan ana tidak mengeluarkan walaupun 1sen untuk busana majlis bertandang. Alhamdulillah.

Tema majlis bertandang yang sebenar warna voilet/ungu. En Bulan pula dah banyak baju melayu warna ungu. Cancel warna ungu. Pastu geledah beg ada jubah ana warna kelabu. Pergi kedai tepi jalan area Klang jumpa jubah untuk En.Bulan warna kelabu. Tak tahu macth warna atau tak dengan jubah ana. Gelap ke,cerah ke, tak sama langsung ke. Tapi kami tak kisah semua itu. Asalkan menutup aurat. :)

Sebenarnya pakaian nikah kami tu adalah pakaian untuk majlis walimah di Terengganu yakni dirumah ana. Kami memang tak sediakan pakaian lain. Nikahnya pagi dan pakai baju nikah tu sampai ke petang.

Pakaian nikah kami tetap berbakti kepada kami sampai sekarang walaupun dengan harga bawah dari RM100.

Jika sewa, semestinya tak dapat memberi kepuasan kepada diri. Sewa dah la mahal. Beratus-ratus. Pakainya pula sehari sahaja.

Bab duit mas kahwin dan wang hantaran pula ana hanya meminta RM88 sahaja. Tiada yang lebih daripada itu. Jika ada, ana menerima seadanya sebagai hadiah. "Saya mengutamakan apa yang lebih utama."

Rasulullah pernah bersabda "Mas Kahwin yang paling berkat adalah mas kahwin yang paling murah.."

Perihal barang-barang hantaran pula ana sediakan 7 dulang iaitu;


Coklat, Buku, Sejadah + Kain Pelikat, Tuala, Kek, Buah dan Quran + Tasbih + Jubah


Buku-buku ni dah lama disimpan, memang niat nak beri kepada bakal zauj (masa tu tak tau lagi sapa gerangannya)

Dibalas pula 9 dulang iaitu;

Mas kahwin, Buku, Madu + Wangian Katuri, Cincin, Telekung Solat, Coklat, Kismis + Kurma, Air zam zam & Kek.

Majlis juga hanya kecil-kecilan namun ramai yang hadir. Alhamdulillah. Bukan kami kedekut atau pun tidak berduit, namun tidak membazir itu lebih elok. Terhindar daripada amalan syaitan.

"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan harta kamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."
(al-Isra' ayat 26-27). 

Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya ternyata Baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan Baginda sama ada cara berpakaian, perhiasan dalam soal makanan dan sebagainya ianya berada dipaksi kesederhanaan. Padahal Baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada Baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud)

....nota jari...

Ianya bermula daripada NIAT masing-masing. Jika niatnya baik maka baiklah yang akan diperolehi. :) Jangan menyusahkan perkara yang boleh dipermudahkan. 
Semoga semuanya selamat 


بسم الله الرحمن الرحيم

Pada mulanya tidak ramai rombongan dari Terengganu ke majlis walimah rumah zauji. Sebaik turun dari kereta yang dipandu zauj, tiba-tiba datang sekumpulan adik-adik yang berniqab menerpa ke arah ana. Terkejut bukan kepalang. Mereka menghulurkan salam dan mengucapkan:

"Tahniah kak"
"Mabruk kak"
"Barakallah kak"

Pelukan erat antara kami dan saling melemparkan senyuman yang sungguh manis walaupun hanya nampak melalui mata. Bergenang kelopak mata ana melihat mereka. Rombongan yang hanya sekerat terus menjadi segerombolan.

Gamat kenduri rumah zauji, rombongan dari Terengganu bersama muslimat berniqab. Ramailah tetamu yang mengambil gambar kami sama ada dengan camera mahupun telefon.

Allah.. Sebenarnya ana sendiri tidak tahu menahu adik-adik berniqab ini datang dari mana, apatah lagi mengenali mereka.

Adik-adik berniqab ini mengiringi ana sampai ke pintu rumah zauji. Sesudah bersalaman, kami berpelukan lagi. Menitis jua air mata ana. Siapakah gerangan adik-adik yang solehah ini? Ana tidak sempat bersembang lama dengan mereka. Sedar-sedar mereka sudah hilang entah ke mana.

Ada yang cakap mereka adik-adik ana dan ada juga yang cakap mereka sahabat-sahabat ana. Malah ada juga yang bertanya "Diorang tadi tu manusia ke?"

Sungguh asing bagi mereka yang melihat kami memakai niqab beramai-ramai. Namun, sungguh tidak asing bagi kami yang sudah biasa berpakaian sebegini di khalayak ramai malah merasakan diri lebih dihormati.

Sesungguhnya Allah yang menghantar adik-adik berniqab ini menyertai rombongan ana sekeluarga kerana Allah tahu kami hanya datang dengan sebuah kereta. Adanya adik-adik ini juga adalah penyeri majlis walimah di rumah zauji yang ana rasakan sangat-sangat diberkati Allah. Hadirnya adik-adik ini jua turut menyelamatkan ana dan zauji daripada berlakunya perkara-perkara lagha dan membuatkan para tetamu tahu yang muslimat seperti kami mahukan kesederhanaan yang bersyariat dalam majlis sebegini.

Apa yang ana mahukan Allah dah makbul.

#Tiada mak andam/juru make up (make up sendiri guna bedak botol hu~)

#Tiada juru camera yang mengambil gambar pelbagai aksi & adegan

#Tiada acara bersanding (pelamin ada tapi ramai yang tak tahu)

#Tiada acara menepung tawar

#Tiada baju yang berkelipan. Ada tetamu bertanyakan kepada ana mana pengantin perempuan sedangkan soalan diajukan kepada pengantin sendiri. Jubah yang ana pakai dibeli sendiri, seingat ana jubah ini pernah dipakai sebelum ini (jimat,tak perlu membazir).

Gambar tak ready. Masa ni tengah berjalan. En. Bulan entah kemana perginya.. 


Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulilah

...nota jari berinai...

Kami bergambar atas pelamin juga, tapi waktu tu dah jam 6.30 pm.
Hanya adik beradik dan ibu bapa saudara sahaja yang ada. Yang asing bagi kami tiada.

Syukran mama yang menjadi tulang belakang majlis, tanpa mama sungguh tempang walimah kami.

Syukran adik-adik ku sayang, ibu-ibu saudara, ayah-ayah saudara yang memberikan kami pelbagai hadiah serta menolong itu ini.

Syukran juga kepada sepupu sepapat yang mengerah keringat dan tenaga. Yang dapat dengar ceramah free dari ana malam sebelum walimah diharap ingat dan lekat kat kepala ya..

Dan yang sangat dihargai ummi abi, kakak & abang yang jauh datang dari Terengganu. Walaupun kesihatan tidak mengizinkan kalian tetap nak datang semata-mata untuk melihat hari bahagia kami.

Moga Allah membalas segala jasa & pengorbanan yang kalian curahkan. 

Doakan kami agar cinta ini terpahat hingga ke syurga Allah. :)


“Kenapa menjemput dan bukan mencari rezeki?”
Kaedah menjemput rezeki adalah lebih mudah daripada mencari rezeki. Sebabnya kita sudah tahu satu-satunya Pemberi rezeki hanyalah Allah. Buat sahaja apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang. Asal jadi orang baik, soal rezeki jangan risau, Allah jamin. 
Kalau beli barang yang ada jaminan 3 tahun pun kita sudah yakin dan beli tanpa was-was, kenapa jaminan daripada Allah kita tidak yakin?
Tidak salah untuk berimpian. Allah tidak pernah halang cita-cita kita selagi mana masih di dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Mahu jadi doktor? Mahu jadi lawyer? Mahu jadi majistret? Mahu buat bisnes? Mahu jadi jutawan? Mahu jadi pelabur? Silakan. Berusahalah ke arah impian tersebut. Tetapi dalam masa yang sama jangan dilupakan tanggungjawab kita kepada Allah, tingkatkan hubungan kita dengan Allah. Buat sahaja. Usaha perlu konsisten.
Itu sahaja syaratnya.
Mudah.

Buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang.



Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa bulan lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Nur. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Nur yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ummi bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ummi akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ummi, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ummi angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Nur, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ummi...

"Usah berlebihan ya..."

Ummi angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Nur, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Nur diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ummi.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ummi beberapa minggu kemudian...

"Nur bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ummi tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Nur hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ummi angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Nur selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Nur mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Nur yang diberikan oleh ummi.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ummi akan tenang menghadapinya, kerana ummiku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan uumi mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ummi."

* Kisah ini bukan kisah ana (Nur), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Nur (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Arh... Untungnya Nur. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)

~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~


#watak diubah sedikit agar diri ini merasainya sendiri hingga ke hati


Apabila seorang doktor mengarah pesakitnya yang menghidap penyakit kencing manis agar dipotong tangan atau kakinya, tindakan bagi mengelak penyakitnya tidak merebak. Ia tidak dipersoalkan oleh pesakit tadi bahawa ia zalim, tidak berperikemanusiaan, dsb.

Begitu juga halnya dengan hukum Allah, apabila Dia mengarahkan untuk memotong tangan atau kaki hambanya yang "berpenyakit", ia tidak lain tidak bukan bagi mengelakkan "penyakit" itu terus merebak. Namun malangnya ia dianggap sebagai zalim, tidak berperikemanusiaan, undang-undang rimba, dsb. Jika tindakan seorang doktor diiktiraf atas ilmunya, apatah lagi arahan daripada langit yang tidak terkira ilmuNya.


....nota jari....

Jujur itu pilihan.
Janji harus ditepati.

Kata bulan, jika mungkir janji ibarat seperti orang 'munafik'.


Pada ahad lepas, ana menemani En. Bulan ke kuliah di UITM Shah Alam. Kami bertolak sewal jam 7.30am.  Sebelum memulakan perjalanan En.Bulan mengambil al-Quran dari dashbord dan berkata, "Ana sentiasa pesan pada anak-anak pelajar. Walaupun hari cuti, tiada kelas mengaji namun membaca kalam Allah tidak ada hari cuti. Sentiasalah membaca al-Quran walaupun satu ayat." Ana hanya tersenyum sambil mendengar bacaan En.Bulan.

Di UITM En.Bulan meminta ana berada di 'Rumah Allah'. Ya, ana duduk di situ dari pagi sampai petang. Dari seorang diri sampai penuh surau. Pelbagai peringkat umur yang menghuni rumah Allah. Dari pangkat adik sehinggalah pangkat makcik.

Sambil-sambil ana menaip entri "PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC & KAMI", ana didatangi sekumpulan pelajar yang terdiri daripada kakak-kakak meminta ana menggunakan extension untuk mereka turut sama menggunakan laptop. Sungguh bersemangat kakak-kakak ni berbincang mengenai tugasan yang perlu dihantar pada kelas petang itu. Gamat jadinya. Kekadang ada rakannya mengingatkan 'Issshh.. Perlahan sikit.. Surau ni.."

Terdapat juga beberapa orang pelajar yang kusyuk solat sunat Dhuha dan ada yang tekun membaca Quran dan ada pula yang menelaah nota-nota.

Sungguh, pelajar-pelajar ini sangat rajin. Jika tidak, manakan mereka mahu melanjutkan pelajaran. Apatah lagi ada beberapa tanggungjawab yang lain selain daripada seorang pelajar. Seorang ibu, pegawai kerajaan mahupun swasta, isteri, yang bakal ibu pun ada.

Tengahari itu En.Bulan mengajak ana makan diluar. Katanya cafe tutup. Jadi kami solat selepas makan tengahari.

Tiba waktu solat, En. Bulan meminta ana tunggu di dalam kereta terlebih dahulu. Mengikut penerangannya, waktu begini surau penuh sesak. Terdetik dihati ana "Baguslah ramai orang. Boleh berjemaah ramai-ramai.". Namun En.Bulan sebenarnya tidak membenarkan ana ke kawasan surau pada waktu itu kerana tempat wudhuk wanita tidak seperti yang ana jangkakan. Ia agak terdedah dan pelajar lelaki dengan selambanya lalu lalang dihadapan tandas dan tempat wudhuk wanita. Oleh itu, dengan senangnya si lelaki akan dapat melihat aurat si wanita. 

"Ambik wudhuk tak kena buka stokin, sarung lengan bahkan tudung?"  Mestilah kena buka. Itu yang menjadi penyebab utama En.Bulan tidak membenarkan ana ke kawasan surau pada waktu itu.

Sungguh dia menjaga aurat si isteri. Bahkan berkali-kali berpesan 'jaga' 'jaga' dan 'jaga'. Teringat pada hari kedua pernikahan kami, ana ingin turun dari rumah untuk membantu ummi di bawah. Sedang meniti tangga terdengar En.Bulan berkata "Kalau tak pakai stokin jangan turun..!" Tercengang ketiga-tiga orang abang ana yang bersama-sama berusrah santai dihalaman bersama En.Bulan. Pabila kami refresh kembali kejadian itu, kami sama-sama tergelak. Tegas bebenor ketika itu, terkulat-kulat si isteri yang baru dua hari dilamun cinta.

Ya, semestinya kena tegas perihal aurat..! Syukran En.Bulan kerana sering mengingatkan ana agar menghindari dari api neraka yang berjuta kali lebih panas dari api dunia.

15 minit kemudian, ana menerima pesanan ringkas dari En.Bulan. "Orang dah sikit. Solat." Memang ringkas. Fuuuh, lega. Duduk dalam kereta tengah panas terasa bahangnya hingga berpeluh sakan. Bergegas ana menuju ke surau. Masih agak ramai. Terlihat en bulan berbual-bual dengan coursematenya di hadapan surau. Panjang leher ana mengintai en bulan seakan-akan ingin mengorat. heh?

Memang tempat wudhuk sedikit terdedah. Seusai berwudhuk, siap bersarung lengan dan kaki, berniqab terus masuk ke surau.

Siap bertelekung ana bertanya pada seorang kakak,

"Kak, dah solat?"

"Belum, baru ja nak solat." ujarnya

"Jom berjemaah kak."

"Err..akak nak cepat ni." jawabnya ragu.

Ana hanya senyum. Cuba lagi bertanya pada beberapa orang jemaah di situ, kesemuanya hampir memberi jawapan yang sama.

Kecewa.!

Sedangkan fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (27 kali ganda)." ~al-Bukhari & Mulim.

Selesai berdoa, ana pandang kiri kanan. Terlihat kumpulan kakak-kakak yang meminta ana menggunakan extension pagi tadi masih lagi bersemangat dan kusyuk menyiapkan tugasan mereka di sudut surau. Jelas suara mereka kedengaran tanpa menghiraukan beberapa jemaah lain yang sedang solat. Lihat kebelakang pula, majoritinya penghuni surau pada waktu zohor ini lena dibuai mimpi. Letih kelas pagi tadi agaknya. Sedangkan ana sejak dari pagi di surau tanpa melakukan sebarang aktiviti yang berat turut terasa berat biji mata apatah lagi mereka yang berjam-jam dibilik kuliah.

Pada hari itu, ana berjaya menghabiskan 3 buah buku motivati untuk makanan rohani. Alhamdulillah.

Jarum jam pendek menuju ke angka 3. Setengah jam lagi akan ke angka 4. Terlihat kakak-kakak yang sibuk menyiapkan tugasan tadi mengemas peralatan tulis serta buku. Barangkali kelas mereka jam 3.30 petang. Ada di antara mereka terus menaip dengan laju, ada yang mengemaskan beg dan ada yang meluru laju ke tandas. Mata ana masih lagi memerhati sambil tangan memegang buku. Yang ke tandas masuk kembali ke surau dan ke ruangan telekung solat, membelek telekung yang ingin dipakai berjumpa Allah.

"Kerana tugasan pensyarah, kami terlewat solat."

Ujar salah seorang daripada mereka pada ana. Dan ana hanya mampu tersenyum. Tidak dapat berbuat apa-apa. Keseganan mereka melihat ana yang berjubah, bertudung labuh menyebabkan mereka tunduk dan hanya senyum sumbing sedangkan pagi tadi senyuman mereka sampai ke telinga.


"Maka celakalah bagi solat-solat (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." ~al-Ma'un: 4-5

Kalian, Firman Allah seperti ayat di atas. Celakalah..! Jika orang yang langsung tidak solat bagaimana pula?

Malu pada Allah. Tinggal dengan senang lenang di bumi ciptaan-Nya, namun kita langsung tidak berterima kasih.
Ibarat orang gaji. Upahnya mahu, tapi kerja tidak dijalankan. Hanya tahu makan, tidur, AF, Juara lagu, Jangan Lupa Lirik, Raja Lawak, tengok TV3 suku. Patutkah diberi upah sedangkan kerja tidak dijalankan?

Sama juga, kena sembah pada-Nya. Buat yang wajib, perbanyakkan yang sunat, hindari dari kemungkaran, jauhi maksiat, bermujahadah kerana-Nya. Dan bayarannya adalah syurga kerana SYURGA itu hanya kepada mereka yang BERSUSAH PAYAH didunia. MANISnya di sana. :)


Melihat lagi dari ekor mata. Kira-kira terdapat juga dari kalangan mereka yang solat tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna atau lebih dikenali tidak bertudung dan berpakaian ketat lagi sendat. Walaubagaimana pun, syukur mereka masih lagi solat. Kerana mereka tahu, solat itu tiang agama. Cuma mereka tidak memahami apa erti menutup aurat barangkali.

Ana mencuba untuk memaniskan muka sebagai tanda ingin bertegur sapa. Namun, tidak dipandang ke arah ana. Mungkin mereka segan.

Cuba nasib lagi dengan mengajak berbual.
"Errrm, akak.. Kalau hujung minggu macam ni hanya kelas PJJ & persedian ke luar negara ja yang ada kelas ya?"

"Aaah.." jawabnya sepatah.

"Akak tak de kelas ke? Akak ambik kos apa?" tanya ana lagi tidak mahu mengalah.

"Ada. Math." kali ini dua patah.

Terus ada diam, seakan-akan mengganggunya pula jika ana melanjutkan soalan yang seterusnya. Kata en bulan, dia akan terasa hairan dan pelik jika dia dapati ana hanya diam. Sakitkah? huh? Ini Bermakna zaujah en bulan banyak isi untuk bercakap dan suka bercakap juga. Ahha. Oh ternyata, en bulan memang pendengar yang setia.

Oke. Sambung..........

Tidak hairan bagi ana kerana ana juga seorang pelajar univesiti. Empat tahun di alam universiti, pelbagai ragam sahabat dan pelajar yang ditemui.  Solat lewat kerana kuliah sudah lali ana dengar dikalangan sahabat.

Teringat pensyarah ana yang ana kasihi Dr Husni. Beliau mengajar subjek Statistik yang menjadi mata pelajaran kegemaran ana. Pensyarah ini sering berjubah dan bertudung labuh. Beliau sentiasa mengingatkan kami "Masuk surau dahulu sebelum masuk kelas saya. Masuk lewat 10-15 minit saya tak kisah." katanya kepada kami. Wah, memang tak pernah jumpa lagi pensyarah sepertinya. Kelas kami bermula pada jam 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang. Jika tidak solat awal, berkemungkinan akan solat asar pada jam 7 petang. Yela, nak berebut bas dengan pelajar lelaki lagi, nak menunggu bas pada waktu petang yang jarang lalu lalang.

"Ya, mahasiswa yang beriman harus bijak mengaturkan waktu solatnya."



"Wahai tuhan kami,berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka"

Solat 5 waktu tak tinggal.
Tutup aurat dengan sempurna.
Taat pada Allah , Rasul, zauj & ibu bapa. (mentua juga)

Pasti Allah akan pelihara kita. Yakinlah pada-Nya.

Solat mencegah kita melakukan kemungkaran. Sama-sama muhasabah diri kenapa masih ada lagi maksiat-maksiat yang dilakukan olah diri sendiri sedangkan solat tidak tinggal? Ya, mungkin solat kita ada cacat celanya. Solat akhir waktu, tiada tomakninah, memakai telekung yang jarang atau sebagainya. Jom check diri masing-masing.


Taman Tasik Shah Alam

...nota jari...

Untuk kebaikan bersama apa salahnya saling memberi teguran,kan?
Bicara tanpa suara, nanti menyanyi tanpa suara la. Aurat..!

UAi cakap, nyanyi depan suami tak pa. Walaupun suara macam katak. heh? :)

Besok balik kampung lagi. Yeeaaay :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...