Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya,
namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa
bulan lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk
berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah
Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat
untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku,
meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah
dengan tabah.
Aku hanya seorang Nur. Tiada kelebihan yang teristimewa,
tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku
juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah
ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan
sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga
pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak
bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga
tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik
Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah
perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Nur yang sedang mengembara
di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah.
Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam
perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji
wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat
kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak
mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan
yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan
itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ummi bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh
tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ummi akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ummi, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan
berlebihan."
Ummi angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi
helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam
Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku
menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang
menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan
aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang
al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam
al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang
sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku
tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku
menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti
detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak Nur, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak
tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf,
aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian
sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak
dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata
mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku
zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang
berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan
Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku
habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu
kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap
derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja
tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau enti tak datang pun ana tak
berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu
melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam
dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila
sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu
memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya.
Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti
orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan
sekali lagi kepada ummi...
"Usah berlebihan ya..."
Ummi angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan
mata.
"Nur, jom makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan
senyuman.
"Tafaddal, ana puasa."
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
"Wah, Nur diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat...
Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum
ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan
aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh
debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap
bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
.......................................
"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah, tenangnya..."
"Moga Allah memberkatinya...."
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan
aku pada ummi.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian.
Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput
sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada
Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari
pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia'
yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku...
Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam
rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih.
Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia'
yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa,
yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam
akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang
tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha
mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."
Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ummi beberapa minggu
kemudian...
"Nur bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ummi tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada
tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata
doktor, Nur hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya
membunuh."
"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu
ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ummi angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan,
karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam
Kubur'.
"Ya Allah, patut la Nur selalu menangis... Khalilah tak
tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Nur mahu
berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah
menatap kalam dari diari Nur yang diberikan oleh ummi.
"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh
MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan
MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada
ALLAH. Aku tahu ummi akan tenang menghadapinya, kerana ummiku bernama Ummu
Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila
ALLAH meminta. Dan uumi mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah
akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ummi."
* Kisah ini bukan kisah ana
(Nur), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *
Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana
sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan
dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi,
sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan
mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari
pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.
Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar
kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada
hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah
tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya
dengan sehelai kain putih tak berharga.
Setidak-tidaknya, Nur (watak di atas) sudah 'membeli' baju
pernikahannya... Arh... Untungnya Nur. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)
~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~
2 Mujahid & Mujahidah Tinggalkan Pesan:
dah pernah baca pasal ni..memang terkesan di hati..sebak pun ye..
dah pernah baca pasal ni..memang terkesan di hati..sebak pun ye..
Post a Comment