“Salam, adakah ayat "engkau terbaik untukku" masih valid sekiranya suami ditakdirkan bertemu jodoh lagi ?”



Saya tidak pasti tujuan dari lontaran persoalan yang agak mengganggu itu. Adakah untuk meninjau pandangan saya tentang poligami, atau sekadar mahu mengacah-acah sambil melayangkan maksud rasa bahagia yang sedang anda rasakan ketika ini pasti tidak akan lagi rasai andai suami bernikah lagi.

“Suami dia belum ada isteri yang lain…bolehlah nak kata, engkau terbaik untukku…”


Mungkinkah begitu?

SEDIKIT TENTANG POLIGAMI 

Saya menyedari ia merupakan satu topik yang begitu sensitif dan boleh mencetuskan kontroversi, hingga mampu menuai subur pro dan kontra yang tidak bertepi.

Memperkatakan tentangnya selama 2,3 hari mungkin tidak akan habis. Pasti akan ada tingkah meningkahnya, lantaran masyarakat hari ini melihat poligami bukan sebagai penawar yang mampu merawat ‘penyakit sosial’ yang melanda umat manusia tetapi ia adalah ‘racun’ yang menambah parah kepada penyakit sedia ada.

Walaubagaimanapun, saya tidak menyalahkan masyarakat dek salahtanggapan mereka, kerana terlalu jarang bahkan hampir tiada kejayaan pasangan yang mengamalkan poligami didedahkan kepada masyarakat. Sebaliknya, yang sering diperbesar-besarkan adalah kegagalan dan keburukan yang menimpa isteri dan anak-anak yang terlibat. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegagalan kaum lelaki untuk berperanan sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang adil dalam menjayakan poligami.


”Penyebab timbulnya imej negatif terhadap praktik poligami yang dibolehkan dalam Islam sebenarnya adalah pada kaum Muslimin yang tidak komitmen dengan petunjuk agama dalam menjalankan tanggungjawab. Penolakan para muslimah di seperempat bahagian masyarakat Muslim lebih disebabkan kerana kaum laki-laki Muslim sendiri jatuh dan tidak mampu memenuhi fungsi keagamaan dan kehilangan karektor kelelakiannya.”


Demikian kata-kata Maryam Jameelah, seorang Muslimah yang berasal dari sebuah keluarga Yahudi Amerika lewat pernyataannya di The Islamic Bulletin, San Francisco, California, Amerika Syarikat.


Justeru itu, selama mana tanda aras kita merujuk kepada individu dan pasangan yang mengamalkannya, tanpa melihat kepada manfaat dan hikmah mengapa sistem tersebut diharuskan oleh agama, selagi itulah poligami dilihat bermasalah dan tidak menambah apa-apa kecuali keburukan, terutama kepada kaum perempuan sehingga terbit luahan rasa :


“Kami hilang bahagia kerana suami berkahwin dua…”

PENYEBAB KETIDAKBAHAGIAAN  

Hakikatnya, ramai manusia yang hilang rasa bahagia bukan kerana poligami semata-mata. Berapa ramai orang yang tidak terlibat dengan poligami, tetap tidak merasakan bahagia yang hakiki.


Andai kita meluaskan skop pandangan mata di sekitaran hari ini, bukan setakat rumahtangga yang mengamalkan poligami sahaja yang bergolak, bahkan rumahtangga berstatus monogami juga turut banyak berkocak. Saban hari ada saja kisah perceraian yang dipaparkan di dada akhbar.


Terlalu banyak dan sangat menggusarkan!


Fenomena perceraian ini sangat menggerunkan, kerana ia umpama indikator kepada keberhasilan 'jarum' halus yang dicucuk oleh musuh Islam secara perlahan-lahan ke dalam masyarakat Islam iaitu bila mana sistem perkahwinan digambarkan sebagai punca ketidakbahagiaan, maka lama kelamaan generasi muda akan meninggalkan perkahwinan. 
 Mereka lebih gembira berpacaran tanpa apa-apa ikatan.

Inilah yang berlaku kepada institusi perkahwinan di barat yang semakin dipinggirkan. Panggilan 'this is my partner' sudah biasa kepada mereka berbanding, 'this is my wife/husband'.

Jika direnung-renungkan, suasana ini, tidak lain adalah berpunca dari keimanan yang lemah. Ditambah lagi, dengan kurangnya penghayatan kepada konsep ilmu di dalam Islam yang berfungsi sebagai cahaya yang memandu manusia untuk keluar dari lorong kegelapan, kemusnahan dan kerosakan.


Di samping itu, keberhasilan sesebuah keluarga, baik yang berpoligami atau tidak, sangat ditentukan oleh sejauh mana tingkat pemahaman serta ketaatan masing masing (suami dan isteri ) kepada didikan agama. Kurangnya pemahaman dan pengamalan ajaran Islam akan menjadi sumber pemicu kepada keretakan rumah tangga. Tetapi jika disandarkan kepada pemahaman yang benar serta komitmen untuk melaksanakannya, diiringi saling pengertian, saling berkasih sayang dan saling membantu di antara suami isteri, kebahagiaan tersebut pasti dapat dibangun secara bersama-sama.


Justeru, apa yang patut dan perlu diperbincangkan ialah bagaimana langkah sepadu dan efektif dapat dilaksanakan dari pelbagai pihak terutama institusi dan badan-badan swasta juga kerajaan yang banyak terlibat secara langsung dalam menggubal kursus-kurus perkahwinan Islam, untuk menerap kesedaran iman dan penghayatan ilmu kepada pasangan lelaki dan wanita bagi melaksanakan kewajipan, tanggungjawab dan amanah selepas bernikah.


Poligami semata-mata sebenarnya bukanlah sesuatu yang harus dibahaskan dengan panjang lebar. Kemelut yang melanda institusi rumahtangga hari ini bukan berpunca dari sistem perkahwinan itu sendiri ( baik poligami atau monogami), tetapi individu yang melaksanakannya.


YANG TERBAIK

 Oleh itu, sebagai satu usaha kecil yang dapat di lakukan melalui penulisan ini, penulis merasakan bahawa antara jalan keluar kepada keruncingan ini ialah dengan menyuntik kesedaran, keinsafan dan motivasi ke dalam diri pasangan suami isteri tentang peranan serta penunaian hak-hak yang diwajibkan ke atas mereka. Gesaan mempertingkatkan usaha dan memperbaiki layanan, khidmat bakti dan kasih mesra dari semasa ke semasa dalam rangka memberikan yang terbaik kepada pasangan dan cahayamata yang disayangi.


Sementelah Rasulullah SAW sendiri sebagai tauladan unggul, sentiasa mencetus galakan dan saranan agar umatnya berusaha untuk menjadi yang terbaik, yang paling dikasihi dan seumpamanya sebagaimana yang dinyatakan di dalam rantaian mutiara hadis-hadis baginda.

Antaranya :

1. “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).


2. “Hal terbaik bagi seorang mukmin setelah ketaqwaan pada ALLAH SWT adalah (memiliki) seorang isteri solehah, iaitu yang patuh jika disuruh, menyenangkan bila dipandang, membenarkan jika suami bersumpah atasnya, dan pandai menjaga diri dan harta jika suami tidak ada.”( Hadis riwayat Thabrani dari Abdullah bin Salam )

3. "Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah." ( Hadis riwayat Muslim)


4. "Yang terbaik daripada wanita di dunia, ada empat: Maryam binti 'Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan Asiah isteri Firaun." ( Hadis riwayat Ahmad )

5. “Yang terbaik daripada kaum muslimin adalah yang menahan tangan dan lidahnya ( dari menyakiti ) Muslim yang lain." ( Hadis riwayat Muslim )

Dan banyak lagi hadis-hadis yang menganjurkan sedemikian.


 Penulis jg percaya, usaha yang ikhlas kerana ALLAH SWT dari seorang isteri untuk ketenangan dan kedamaian suami di rumah, pasti akan diberikan ganjaran yang melimpah ruah dari sisi-NYA. Sebagaimana kata-kata suami kepada penulis tatkala menegaskan pandangannya tentang hubungan suami isteri : 

…..hasil dari ketenangan di rumah, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dígalas atas nama ALLAH, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yangbermaharajalela.Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikankeluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh….”

SILAP FAHAM

Terdapat silap faham dan kegelinciran tafsiran yang telah lama penulis ketengahkan setiap kali berbicara tentang perkahwinan, tanggungjawab isteri dan kaitannya dengan poligami, iaitu tanggapan dan saranan kepada pihak isteri agar menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka sebaiknya agar suami tidak berpaling mencari wanita lain.


Saranan itu pada penulis agak tersasar dan bersalahan dengan konsep keimanan dan ketaqwaan yang tuntas kepada ALLAH ar Rahman.


Mengapa?


Kerana penulis mngatakan bahawa, layanan istimewa dan khusus yang diberikan buat suami bukan untuk menjauhkannya dari ruang keizinan berpoligami; akan tetapi semua itu adalah tanggungjawab dan curahan bakti yang sewajarnya dilaksanakan oleh seorang isteri sebagaimana yang diperintahkan Ilahi.


Saling memberi dan menerima dalam ikatan rumahtangga bahagia.

Bukan atas alasan saling memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar menyintai kerana ILAHI.
Bila mana seorang isteri meletakkan usahanya sebagai GALANG GANTI agar suami tidak bernikah lagi, maka telah berlaku dua kesilapan yang mampu merobek kebahagiaannya andai ditakdirkan suaminya benar-benar mengahwini wanita lain :

gambar sbg cth sahaja

1)KESILAPAN KERANA BERGANTUNG SERTA YAKIN KEPADA USAHA FIZIKAL SEMATA 

 Manusia sememangnya dituntut untuk berusaha, akan tetapi jangan sesekali kita lupa bahawa penentu kepada keberhasilan usaha yang dilakukan tetap tergantung kepada ALLAH SWT. Justeru, seiringkan usaha fizikal dengan kemantapan usaha spiritual iaitu melalui doa dan munajat yang berpanjangan agar ikatan bahagia di antara suami isteri berkekalan, walau tanpa atau dengan berpoligami.


2)KESILAPAN KERANA ‘MENDAHULUI’ ALLAH DAN KEHENDAK-NYA 


 Seyakin manapun manusia kepada usahanya, sepasti apapun ikhtiar makhluk kepada kita, ia tidak akan menjamin apa-apa kecuali dengan qudrah dan iradah-NYA. Tidak salah berharap, tetapi dengan menyandarkan usaha yang diberi pasti dapat menjauhkan suami dari bernikah lagi, hakikatnya keyakinan itu telah ‘mendahului’ kehendak ILAHI, sedangkan ALLAH SWT sendiri menegaskan di dalam firman-NYA :


Maksudnya : "ALLAH, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-NYA); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-NYA apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi ALLAH tanpa izin-NYA. ALLAH mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu ALLAH melainkan apa yang dikehendaki-NYA. Kursi ALLAH meliputi langit dan bumi. Dan ALLAH tidak merasa berat memelihara keduanya, dan ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." ( Surah al Baqarah ayat 255 )

PASTI vs TIDAK PASTI

 Penulis menyatakan kesyukurannya kerana keimanan dalam diri masih mampu mengawal dan memandunya mengingati ILAHI, beristighfar dan mengembalikan sepenuh keyakinan kepada-NYA. Betapa syaitan sedang cuba memainkan sentimen emosi ke dalam jiwanya hanya kerana satu pertanyaan yang dengan mudah penulis mampu menjawabnya.


Cinta si penulis kepada suami yang baik budi selama ini bukanlah begitu murah harganya. Kasih yang terbina antara penulis dgn suaminya rentetan dari pelbagai ujian kehidupan sepanjang bergelar suami isteri tidak akan lebur dan hancur begitu sahaja; hanya kerana suami mengasihi wanita lain sebagai isterinya.


Keyakinan penulis bahawa hidup, mati dan jodoh, semua itu telah ditentukan oleh-NYA. Manusia hanya dituntut berikhtiar dan bertawakal kepada-NYA.


 Apa yang pasti, pada saat ini, si penulis adalah seorang isteri dan ummi. Sedang suami akan berpoligami atau tidak, ia tetap tersimpan di dalam pengetahuan ILAHI. Mungkin poligami akan berlaku, dan mungkin juga ia tidak akan pernah terjadi. Belum pasti.

Jika memang ditakdirkan suami mengahwini wanita lain, maka pasti ia akan berlaku.

Apabila ALLAH menentukan sesuatu ketetapan maka tiada siapa dapat menghalangnya walaupun manusia di seluruh dunia bersatu untuk berbuat demikian. Sebaliknya, tiada sebarang kuasa pun yang dapat mengadakan sesuatu melainkan apa yang di izinkan oleh-NYA.


Lalu mengapa harus sibuk memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan meninggalkan sesuatu yang memang pasti di dalam hidup ini.


Penulis menginsafi, di bahu ini terpikul seribu satu amanah dan tanggungjawab untuk membahagiakan anak-anak dan suami yang dikasihi. Perjuangan sebagai isteri dan ummi tidak akan habis selagi nayawa ini masih berbaki. Si penulis tahu kekuatan juga kelebihan diri yang disenangi oleh suami dan akan sentiasa berusaha mengekalkannya. Begitu juga, si penulis tahu kekurangan dan kelemahan yang ada dan akan sentiasa berusaha untuk memperbaikinya.


Di pihak suami, seawal musim pertama pernikahan lagi, dia melihat usaha kerasnya memberikan yang terbaik untuk kebahagiaan kami; dan untuk itu, penulis akan terus berdoa, memohon ‘inayah dan rahmat dari-NYA sambil menghulurkan tangan, membantu suami bagi menjayakan peranannya itu.


MENJADI YANG TERBAIK, MEMBERI YANG TERBAIK 

 Akhirnya, sebagai balasan kepada persoalan di atas, beserta senyuman lebar dan keyakinan yang membakar, jawapan ini saya berikan :


“Ya, ayat : Engkau terbaik untukku, masih valid walau suami ditakdirkan bertemu jodoh lagi, InsyaALLAH.”

Penulis percaya, bunga-bunga bahagia yang indah akan tetap bersemi bila hati dibajai iman, taqwa dan ilmu serta usaha yang ikhlas hanya kerana Yang Maha Berkuasa.

Sesungguhnya kebahagiaan ini dari-NYA. Tinggal lagi, kegigihan untuk meraih bahagia 
 berpandukan petunjuk yang benar dari-NYA, al Quran dan sunnah Rasul yang mulia.

Hanya kepada DIA kita memohon segala.

Penulis mengakhiri nukilan ini sambil mengimbau gurauan suami suatu masa dulu. Gurauan yang sinis tetapi mendalam maksudnya :

“Orang lelaki yang soleh dan beriman, kalau pun tak dapat berpoligami di dunia ni, dalam syurga nanti tetap berpoligami juga..”

'Ya tak ya juga.....'

Oleh itu, mari kita berusaha untuk menjadi yang terbaik, memberikan yang terbaik, InsyaALLAH ganjaran yang terbaik pasti dapat dikelek.

wallahualam... 

sumber dr : blog mencari & terus mencari (ustazah Noraslina binti Jusin)

by

0 Mujahid & Mujahidah Tinggalkan Pesan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...