Banyak Karenah
“Ya Allah!!!!” bertempik seorang bapa tatkala melihat anak kecilnya mematahkan bingkai kaca mata. Baru dibeli semalam. Mahal pula tu.
Terkejut begini suatu reaksi spontan bagi mana-mana ibubapa apabila berhadapan dengan kesalahan si kecil.
Pelbagai keletah tidak terjangka.
Menyorok telefon bimbit di dalam peti ais.
Meneraburkan duit dan dokumen dari dalam dompet.
Menyelerakkan buku daripada almari.
Meleraikan bunga hiasan.
Mencabut huruf-huruf di keyboard satu demi satu.
Mengoyak. Menterbalik. Mencurah. Menumpah. Menyepah. 1001 karenah.
Betulkan Sudut Pandang
“Kenapa dengan anak aku ni?” keluh hati ibubapa.
Mungkin kita terlupa…
Dia ‘anak kecil’! Memanglah anak kecil begini. Kalau tidak, apa bezanya dunia ‘anak kecil’ dengan dunia ‘anak besar’?
Anak kecil kita baru setahun jagung mengenal dunia. Bermula daripada tidak tahu apa-apa kepada belajar sedikit demi sedikit.
Adilkah kita mengharapkan anak kecil kita yang berusia 3 tahun berdisiplin seperti anak berusia 13 tahun? Jangan sampai sikap kita ‘menzalimi’ dunia kecilnya. Muhasabahlah mana-mana sikap kita yang tidak meletakkan sesuatu kena pada tempat. Mencubit, melempang…adakah itu sikap yang ‘adil’ dalam mendidik si kecil? Kasihani dia.
Kita akan lebih sabar apabila memahami. Lebih terpujuk. Kurang stress. Tugas mendidik anak menjadi lebih seronok bahkan menceriakan hidup.
Marahlah bukan Marah-marah
Ya, anak perlu belajar daripada kesalahannya. Jika ibubapa tidak marah, bagaimana anak akan mengambil serius terhadap perbuatannya yang salah? Lumrah marah, nada suara akan meninggi sedikit. Itu normal.
Biarpun nada suara meninggi sedikit, pastikan bahasa yang kita gunakan tidak kasar dan tidak menyiat-nyiat jati dirinya. Jangan meletakkan label ‘bodoh’, ‘nakal’ atau ‘jahat’. Kata-kata itu akan diprogramkan ke dalam otak menjadi satu kepercayaan diri yang negatif.
“No!” cukup dengan satu perkataan tegas, anak akan mengerti dia buat silap. Biasanya, mukanya akan berubah monyok. Bibirnya mencebir kesedihan.
“Waaaaaaaaaaaaaaa!!!” Ada yang terus berteriak menangis. Ada yang menangis perlahan tersedu-sedan.
Apakah reaksi kita ketika ini?
Meninggalkan begitu sahaja? Biar dia mengerti dengan sendirinya? Biar padan muka? Biar puas hati kita? Biar dia mampu membuat kesimpulan sendiri? Biar? Biar? Biar?
Selepas Marah?
Kembali kepada realiti, dia cuma anak kecil yang belum mengerti. Jangan biarkan dia tertidur dalam kesedihan. Jangan biarkan hatinya rasa dilukai tanpa pujukan.
Kita tentu gembira jika anak kita pandai meminta maaf, bukan? Siapa yang akan mengajarnya sikap mulia itu kalau bukan kita?
Panggilan lembut akan melembutkan hatinya,
“Adik, mari minta maaf dengan ayah.”
Hulurkan tangan kita untuk bersalam. Jangan tunggu anak kecil kita mengerti sendiri untuk menghulurkan tangannya terlebih dahulu. Bahkan kita boleh mencium tangannya terlebih dahulu agar dia dapat mengikuti perbuatan itu.
Si kecil itu gembira diberi peluang. Kita juga akan terpujuk daripada geram. Ajarilah dia dengan kata-kata meminta maaf,
“Ikut ayah sebut, ‘Ayah, adik minta maaf. Adik tak sengaja.’”
Mendengar suara comelnya melafaz kemaafan, sangat mengubatkan. Bukan senang dia hendak memaksa dirinya lunak menerima didikan.
Selepas itu, senyumlah semula. Cium dia. Puji dia. Kerana ‘pandai’ meminta maaf.
Maafkanlah
Prap!
Si kecil terpijak lagi cermin mata si ayah. Dalam nada bersalah, dia cepat-cepat meminta maaf,
“Ayah, adik minta maaf. Adik tak sengaja.”
Sejuk hati mendengarnya. Mulia kelihatan akhlaknya.
Tapi, apakah sikap ibubapa ketika ini?
Memasamkan wajah? Memuncungkan mulut? Mencubit? Enggan menerima kemaafan?
Andai beginilah sikap kita, kita telah mengajarinya sikap berdendam. Dia akan meneladani sikap sukar memaafkan.
Ajarilah dia akhlak mudah memaafkan. Senang tersenyum kembali setelah memaafkan. Bukan mencuka berjam-jam.
Fahami, dia manusia biasa yang berpotensi melakukan kesilapan bila-bila masa sahaja. Kita juga manusia yang ada buat silap. Sudikah kita menurunkan ego untuk meminta maaf?
“Ayah yang sepatutnya minta maaf sebab letak cermin mata merata-rata.”
Berat tapi natijahnya hebat, insya Allah….